kabar-terigas.blogspot.com-Kononnya, pada waktu dahulu ada sebuah gua
ajaib di daerah sambas. Gua ini digelar batu belah batu bertangkup dan amat
ditakuti oleh ramai penduduk kampung. Pintu gua ini boleh terbuka dan tertutup
bila diseru dan sesiapa yang termasuk ke dalam gua itu tidak dapat keluar lagi.
Suatu masa dahulu di sebuah kampung yang
bernama pemangkat yang berdekatan dengan gua ajaib ini, tinggal Mak Tanjung
bersama dua orang anaknya, Melur dan Pekan. Mak Tanjung asyik bersedih kerana
baru kehilangan suami dan terpaksa menjaga kedua-dua anaknya dalam keadaan yang
miskin dan daif.
Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan
telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangkapnya. Bukan main
suka hatinya apabila dapat seekor ikan tembakul. "Wah, besarnya ikan yang
mak dapat !" teriak Pekan kegembiraan. " Ya, ini ikan tembakul
namanya. Mak rasa ikan ini ada telurnya. Sudah lama mak teringin untuk memakan
telur ikan tembakul ini," kata Mak Tanjung. Mak Tanjung terus menyiang
ikan tembakul itu. Dia pun memberikan kepada Melur untuk dimasak gulai. "
Masaklah gulai ikan dan goreng telur ikan tembakul ini. Mak hendak ke hutan
mencari kayu. Jika mak lambat pulang, Melur makanlah dahulu bersama Pekan.
Tapi, jangan lupa untuk tinggalkan telur ikan tembakul untuk mak," pesan
Mak Tanjung kepada Melur.
Setelah selesai memasak gulai ikan tembakul,
Melur menggoreng telur ikan tembakul pula. Dia terus menyimpan sedikit telur
ikan itu di dalam bakul untuk ibunya. Melur dan Pekan tunggu hingga tengah hari
tetapi ibu mereka tidak pulang juga. Pekan mula menangis kerana lapar. Melur
terus menyajikan nasi, telur ikan dan gulai ikan tembakul untuk dimakan bersama
Pekan. " Hmmm..sedap betul telur ikan ini," kata Pekan sambil
menikmati telur ikan goreng. " Eh Pekan, janganlah asyik makan telur ikan sahaja.
Makanlah nasi dan gulai juga," pesan Melur kepada Pekan. " Kakak,
telur ikan sudah habis. Berilah Pekan lagi. Belum puas rasanya makan telur ikan
tembakul ini ," minta Pekan. " Eh, telur ikan ini memang tidak
banyak. Nah, ambil bahagian kakak ini," jawab Melur. Pekan terus memakan
telur ikan kepunyaan kakaknya itu tanpa berfikir lagi. Enak betul rasa telur
ikan tembakul itu! Setelah habis telur ikan dimakannya, Pekan meminta lagi. "
Kak, Pekan hendak lagi telur ikan," minta Pekan kepada Melur. " Eh ,
mana ada lagi ! Pekan makan sahaja nasi dan gulai ikan. Lagipun, telur ikan
yang tinggal itu untuk mak. Mak sudah pesan dengan kakak supaya menyimpankan
sedikit telur ikan untuknya ," kata Melur. Namun, Pekan tetap mendesak dan
terus menangis. Puas Melur memujuknya tetapi Pekan tetap berdegil. Tiba-tiba,
Pekan berlari dan mencapai telur ikan yang disimpan oleh Melur untuk ibunya. "
Hah, rupa-rupanya ada lagi telur ikan! " teriak Pekan dengan gembiranya. "
Pekan! Jangan makan telur itu! Kakak simpankan untuk mak," teriak Melur. Malangnya,
Pekan tidak mempedulikan teriakan kakaknya, Melur dan terus memakan telur ikan
itu sehingga habis. Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang. Melur terus menyajikan
makanan untuk ibunya. " Mana telur ikan tembakul, Melur? " tanya Mak
Tanjung. " Err... Melur ada simpankan untuk mak, tetapi Pekan telah
menghabiskannya. Melur cuba
melarangnya tetapi...." " Jadi, tiada sedikit pun lagi untuk mak?
" tanya Mak Tanjung. Melur tidak menjawab kerana berasa serba salah. Dia
sedih melihat ibunya yang begitu hampa kerana tidak dapat makan telur ikan
tembakul. " Mak sebenarnya tersangat ingin memakan telur ikan tembakul
itu. Tetapi...." sebak rasanya hati Mak Tanjung kerana terlau sedih dengan
perbuatan anaknya, Pekan itu.
Mak Tanjung
memandang Melur dan Pekan dengan penuh kesedihan lalu berjalan menuju ke hutan.
Hatinya bertambah pilu apabila mengenangkan arwah suaminya dan merasakan
dirinya tidak dikasihi lagi. Mak Tanjung pasti anak-anaknya tidak
menyanyanginya lagi kerana sanggup melukakan hatinya sebegitu rupa.
Melur dan Pekan
terus mengejar ibu mereka dari belakang. Mereka berteriak sambil menangis
memujuk ibu mereka supaya pulang.
" Mak, jangan tinggalkkan Pekan! Pekan
minta maaf ! Mak...." jerit Pekan sekuat hatinya.
Melur turut menangis dan berteriak, " Mak,
Kasihanilah kami! Mak!" Melur dan Pekan bimbang kalau-kalau ibu mereka
merajuk dan akan pergi ke gua batu belah batu bertangkup. Mereka terus berlari
untuk mendapatkan Mak Tanjung.
Malangnya, Melur
dan Pekan sudah terlambat. Mak Tanjung tidak mempedulikan rayuan Melur dan
Pekan lalu terus menyeru gua batu belah batu bertangkup agar membuka pintu.
Sebaik sahaja Mak Tanjung melangkah masuk, pintu gua ajaib itu pun tertutup.
Melur dan Pekan
menangis sekuat hati mereka di hadapan gua batu belah batu bertangkup. Namun
ibu mereka tidak kelihatan juga.
Dan sampai
sekarang tempat itu disebut tanjung batu yang terletak di Kecamatan Pemangkat.
0 komentar:
Posting Komentar